dailyvideo

Apakah Yang Anda Faham Terhadap Sistem Demokrasi? Razali Abd Rahman Huraikan.

oleh Razali Abd Rahman

SISTEM DEMOKRASI

Setiap negara ada kaedah dan sistem pemerintahannya yang tersendiri.Terdapat pelbagai nama yang diberikan untuk menggambarkan bentuk pemerintahan sesebuah negara seperti demokrasi, sosialis, monarki, dan lain-lain.Dalam sistem berkenaan, terdapat jenis pemerintahan yang membenarkan penglibatan rakyat dalam mengurus dan menggemudi pemerintahan negara.Sementara itu, terdapat juga pemerintahan yang tidak memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.



SISTEM DEMOKRASI

Sistem ini amat bermakna bagi sesebuah negara yang mendaulatkan kebebasan rakyat.Ia menggambarkan suatu sistem yang memberi keutamaan kepada suara dan kehendak majoriti rakyat.Istilah popular demokrasi ialah "kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat".Unsur penting dalam demokrasi ialah "pemerintahan rakyat".Dalam sistem ini, rakyat lebih berkuasa dan mereka yang akan menentukan siapakah yang akan membentuk dan menerajui kerajaan.Demokrasi mempunyai makna yang bertentangan dengan autokrasi.Dalam autokrasi, rakyat tidak boleh bersuara dan tidak dibenarkan terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

DEMOKRASI BERPARLIMEN


Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan seperti mana yang dinyatakan dalam perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.Dalam sistem ini, kuasa perundangan persekutuan terletak kepada parlimen yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.Parlimen mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang negara.Tugasnya ialah untuk menggubal undang-undang dan dasar-dasar melalui kuasa yang diberi kepadanya oleh rakyat.

KUASA RAKYAT

Rakyat ada kuasa memilih pemimpin dan kerajaan.Wakil yang dipilih oleh rakyat samada bagi kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bertanggungjawab serta bertindak untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya.Amalan memilih pemimpin dan kerajaan dalam demokrasi berparlimen ini dibuat melalui pilihan raya.Pilihan raya merupakan salah satu saluran penglibatan warganegara dalam membuat keputusan politik.Melalui pilihan raya, rakyat diberi hak bagi memberi mandat kepada sesuatu parti untuk membentuk kerajaan.Kuasa rakyatlah yang akan menentukan parti yang akan memerintah negara serta membentuk corak pembangunan dan masa depan rakyat.

PILIHAN YANG BIJAK

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana bebas untuk menentukan sendiri bentuk dan corak pemerintahan yang dikehendaki melalui amalan demokrasi berparlimen.Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara kita telah menjadi model negara membangun melalui amalan sistem demokrasi.Selaras dengan itu, rakyat telah membuat pilihan bijak dengan memilih sebuah kerajaan yang mantap dan berpandangan jauh.

Pembangunan berterusan yang mengutamakan kepentingan rakyat di samping kejayaan cemerlang mengurus dan mentadbir negara ini adalah faktor utama mengapa rakyat memberi kepercayaan dan sokongan yang berterusan kepada kerajaan yang ada.

Selain itu, kekuatan ekonomi, kestabilan politik dan perpaduan antara kaum serta keamanan dan kemakmuran negara telah memberi keselesaan hidup kepada rakyat.Kini, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kemajuan yang telah dikecapi.Rakyat telah mendapat faedah yang besar kerana membuat pilihan yang bijak dalam menentukan kerajaan yang memerintah di negara ini.Pembangunan yang berterusan di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang ternyata menguntungkan rakyat.

Sekian.
Razali Abd Rahman
SU Pemuda dan AJK UMNO Cawangan Kulai Besar,
Kulaijaya
Johor.

Posted by Unknown on 4:02 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Apakah Yang Anda Faham Terhadap Sistem Demokrasi? Razali Abd Rahman Huraikan.

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery